Friday, March 20, 2009

anugerah kewartawanan Datuk Bandar DBKK

DBKK yakin capai setinggan sifar

KOTA KINABALU 20 Mac - Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yakin sasaran setinggan sifar menjelang 2010 mampu dicapai berdasarkan usaha berterusan dan bersepadu pelbagai pihak berkaitan dalam membanteras masalah tersebut.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim berkata, selain itu, sebuah Jawatankuasa Tindakan Daerah telah dibentuk bagi menjamin keberkesanan segala tindakan yang dirancang dalam memastikan sasaran sifar setinggan mampu dicapai.

''Ia (jawatankuasa tindakan daerah) sudah ditubuhkan bertahun-tahun lalu. Ini pun bersepadu juga. Kalau bukan saya mempengerusikan mesyuarat, Ketua Pengarah atau timbalan saya yang akan menggantikan saya.

''Kita juga ada memanggil wakil-wakil rakyat kalau ada masalah, serta Jabatan Tanah dan Ukur dan Jabatan Air. Ini memang sudah lama dilakukan,'' katanya kepada pemberita selepas meraikan pengamal media tempatan sempena sambutan ulang tahun kesembilan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid, Selasa lalu, yang mencadangkan supaya DBKK menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi memastikan keberkesanan usaha membanteras setinggan di bandar raya ini.

Iliyas berkata, langkah memerangi setinggan merupakan tugas rutin yang dilakukan DBKK dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain seperti polis dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela).

Katanya, badan bertindak sedia ada telah membuktikan keberkesanan apabila berjaya meroboh beribu-ribu buah rumah setinggan.

''Kita tidak biar (setinggan). Ada setinggan kita roboh. Setinggan yang sudah dirobohkan tapi dibina balik, kita buat pemantauan, kemudian kita robohkan balik," katanya.

Dalam pada itu Iliyas berkata, DBKK akan memperkenalkan semula anugerah kewartawanan Datuk Bandar DBKK yang diberhentikan sejak 2006.

Katanya, pengenalan semula anugerah tersebut bertujuan menghargai dan mengiktiraf sumbangan wartawan dalam memajukan bandar raya ini menerusi penulisan yang bermutu dan bermaklumat.

''Saya berharap wartawan dapat meningkatkan lagi pengetahuan dalam pelbagai bidang, khususnya dalam mengharungi era globalisasi dan ledakan teknologi maklumat yang semakin mencabar," katanya.

utusan

No comments:

Post a Comment